Sekitar tahun 2007.

Pa’din: Aku ada nama best untuk band kite.

Hannan: Ape die?

Pa’din: Minda Eksekutif Muda Bercelaru!

Hannan: Haha! Mana kau dapat?

Pa’din: Ada artikel sotkabar, wartawan interview Rusinah Siron, pasal orang mula kerja guna kad kredit sampai muflis. Aku baca tajuk macam sempoi je. Dia masih sebut lagi pasal tiga “S”, tiga “P” macam kita orientasi dulu.

Hannan: La yeke? Seksi, Sendat, Singkat, haha!

Minda Eksekutif Muda Bercelaru

 

Dr. Rusinah Siron

Dr. Rusinah Siron

Hakikatnya, ini bukan masalah baru. Kehendak manusia memang sukar dibendung. Malah gejala berbelanja melampaui kemampuan semakin hari semakin menghantui generasi muda kita terutama di kalangan eksekutif muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Fenomena ini jika tidak ditangani segera, mengundang keadaan lebih buruk.Mukadimah
LAPORAN bahawa tunggakan pinjaman kad kredit kini mencecah hampir RM20 bilion memeranjatkan kita. Secara tidak langsung, ia memberi gambaran betapa ramai rakyat negara ini yang hidup bergaya dengan berhutang.

Menurut laporan, pada 2005, sebanyak 16,000 kes kebankrapan difailkan dengan lapan peratus melibatkan golongan yang berumur kurang 30 tahun. Keadaan ini turut membimbangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta pihak-pihak tertentu memberi perhatian serius kepada perkembangan tidak sihat tersebut.

Mengulas apa yang berlaku, Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Teknologi Nasional (Uniten), Dr. Rusinah Siron berkata, konflik timbul kerana sebahagian besar mereka tidak tahu bagaimana hendak mengatur sumber pendapatan yang ada dengan realiti kehidupan sebenar.

‘‘Gaya hidup melebihi kemampuan tidak akan berlaku kalau mereka tahu mengutamakan apa yang utama,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar, HAYAT SUEET pada pertemuan di Hotel Residence milik Uniten yang terletak di Bangi Jumaat lalu.

Menurut Dr. Rusinah lagi, golongan muda perlu membezakan antara kehendak dan keperluan kerana kehendak dan keperluan ini merupakan peringkat pertama di dalam situasi yang mengundang kepada ‘ketidakcukupan.’

‘‘Disebabkan kehendak berlebihan berbanding dengan keperluan yang sepatutnya, ini yang akhirnya mewujudkan permasalahan hidup,” katanya sambil menegaskan faktor bidang kerjaya, pengaruh rakan dan persekitaran banyak mempengaruhi sikap serta cara perbelanjaan seseorang.

Pun begitu kata Dr. Rusinah, golongan ini masih boleh bergaya jika mereka mempunyai kreativiti untuk tujuan menampung pendapatan sedia ada.

MINGGUAN: Adakah fenomena ini membimbangkan?

DR. RUSINAH: Walaupun belum sampai ke tahap kritikal tetapi fenomena ini memang membimbangkan. Kita perlu berwaspada. Sekarang, apa yang perlu dilakukan ialah ke arah mendidik golongan muda cara berbelanja yang betul. Fenomena ini akan menjadi kritikal jika tidak diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Sebagai ahli akademik, tugas saya mendidik para pelajar untuk pandai mengurus diri dan kewangan. Dalam hal ini peranan ibu bapa sangat penting selain masyarakat harus mengubah gaya dan pemikiran mereka. Kebelakangan ini kita kerap melihat penganjuran majlis-majlis perkahwinan gaya mewah, berhabis-habisan. Graduan yang baru bekerja sepatutnya ingat bahawa gaji mereka hanya sekitar RM2,000 sebulan. Dalam tempoh dua atau tiga tahun bekerja, mampukah mereka menanggung perbelanjaan besar sebegitu? Yang jadi mangsa ibu bapa. Kalau ibu bapa mampu tidak mengapa, ini sampai terpaksa berhutang. Perubahan pemikiran ini penting supaya nilai hidup tidak dilihat berteraskan material sahaja. Semua pihak perlu memain-kan peranan menunjukkan fokus yang betul kepada gaya hidup atau taraf kemampuan golongan muda. Dan kita memerlukan strategi pelaksanaan secara bersepadu dalam memperkatakan soal ini.

Mengapa budaya materialistik semakin mengambil tempat dalam masyarakat?

DR. RUSINAH: Ini yang dikatakan nilai-nilai hidup telah berubah. Dalam aspek ini, kita kena tahu di mana yang menjadi keutamaan. Masyarakat kita selama ini terkenal dengan budi bahasa. Kita sendiri yang kena bergerak ke arah meningkatkan nilai hidup yang positif, membina etika dan integriti. Ini bukan kerja sehari dua atau satu, dua tahun. Usaha ini memerlukan keselarasan dan kesepaduan daripada semua pihak.

Mengapa mudah berlaku perubahan nilai. Adakah kerana asas keyakinan kita tidak kukuh?

DR. RUSINAH: Kita kena terima sekarang tahun 2007, telah berlaku pergerakan polarisasi dalam hidup, urbanisasi daripada pergerakan kampung kepada bandar. Kesannya, gaya hidup memang akan berubah. Kedua, modenisasi hidup. Kalau dulu kita tidak perlu telefon bimbit tetapi sekarang satu trend. Malah kita dikatakan tidak moden jika tidak mengutamakan teknologi maklumat (IT). Krisis ini juga dihadapi negara-negara membangun lain. Negara yang sudah maju menghadapi cabaran gejala sosial yang cukup hebat. Sebab ini adalah rentetan daripada prakehidupan mereka sebagai sebuah keluarga, kemudian membentuk menjadikannya masyarakat dan akhirnya negara. Jadi kesan yang kita terima adalah secara keseluruhan. Tetapi kita kena lihat akar umbinya di mana. Dulu, di era negara baru merdeka, semangat patriotik sangat dipentingkan. Tahun 1980-an, tumpuan kepada pembangunan ekonomi. Maka timbul krisis dalam kehidupan sosial kerana kita sibuk mencari duit. Sampai tahun 1990-an, kita menikmati pemodenan dan pembangunan pesat. Setelah menikmati pemodenan dan pembangunan pesat, inilah harga yang perlu kita bayar. Tahun 2000 sehingga sekarang, kita enjoy dengan kenikmatan yang ada. Jadi banyak kesan kepada ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Jadi hidup ini mempunyai perubahan. Kalau di negara maju, mereka tidak perlu membawa kereta tetapi menaiki basikal untuk menikmati kehidupan. Kerana mereka telah mencapai tahap kehidupan paling maksimum. Bill Gates pernah berkata, ‘‘Duit sudah tidak penting pada saya.’’ Tetapi bagi yang baru mencari kekayaan, duit adalah penting. Maknanya apabila kita mencapai tahap yang tinggi dalam hidup, barulah berlaku pembentukan identiti seseorang. Buat masa sekarang kita masih dalam kecelaruan, pencarian dan keselarasan melibatkan aspek kehidupan masing-masing.

Apa yang perlu mereka lakukan untuk mengelakkan permasalahan yang dimaksudkan?

DR. RUSINAH: Yang pertama kehendak dan keperluan harus diberikan perhatian oleh pihak eksekutif ataupun golongan muda. Kedua, mereka mesti mengukur kemampuan. Di sinilah bermulanya gaya kehidupan. Selepas kehendak, keperluan dan kemampuan, mereka mesti tahu menstrategikan apa yang menjadi keutamaan kehidupan, kerjaya, keluarga atau diri sendiri?

Gaya hidup melebihi kemampuan tidak akan berlaku kalau mereka mengutamakan apa yang utama. Misalnya untuk pembangunan kerjaya, kalau ada masalah kewangan, mereka tahu menyimpan untuk melanjutkan pelajaran. Keutamaan terhadap keluarga, mungkin mereka boleh memberi sedikit wang kepada keluarga sebagai sagu hati di atas susah payah ibu bapa sebelum ini. Kemudian mengutamakan diri sendiri kerana akan berumah tangga yang memerlukan tabungan kerana kehidupan selepas berkahwin lebih tinggi. Kalau tiada tabungan, untuk berkahwin pun terpaksa berhutang.

Secara mudah, mengapa fenomena belanja melebihi kemampuan ini berleluasa?

DR. RUSIMAH: Saya ringkaskan kepada tiga ‘P.’ Pertama, personaliti tentang peribadi. Kadang-kadang dia tahu tidak cukup, tetapi melihat personalitinya mesti selari dengan tugas yang dijalankan. Personalitinya juga dipengaruhi oleh keluarga yang kurang memahami. Sebagai eksekutif, dia mestilah berpersonaliti sebagai eksekutif. Jenis-jenis pakaian, kasut dan kalau perempuan, jenis solekan, gaya serta aksesori untuk menunjukkan keperibadian sebagai seorang yang bergaya dengan kerjaya. Kedua, pengaruh. Daripada pengalaman dan pengamatan saya, pengaruh cukup kuat. Kadang-kadang melalui kata-kata mereka terpengaruh. Kawan-kawan kata, ‘‘Kereta engkau tidak melambangkan pekerjaan sebagai eksekutif’’ ataupun ‘‘Pakailah yang hebat sikit baru nampak ada gaya.’’ Yang sebelum ini makan di gerai, apabila bercampur dengan kawan-kawan yang mementingkan gaya mula beralih ke restoran. Aspek persekitaran dan pengiklanan memaparkan gaya hidup eksekutif yang hebat juga mendorong. Golongan ini biasanya keluar daripada universiti di peringkat usia kira-kira 23 tahun. Pada peringkat ini, kemungkinan berlaku kecelaruan minda adalah besar – antara mempertahankan nilai diri dengan pengaruh luar. Tidak dinafikan ramai yang tumpas kerana pengaruh-pengaruh begini.

Kenapa?

DR. RUSINAH: Pada peringkat ini antara sifat merendah diri dan meninggi diri, keseimbangannya belum stabil. Ini perlu kita akui memang berlaku dalam proses pertumbuhan jangka hayat manusia. Jadi dalam peringkat kecelaruan ini, mereka perlu panduan. Jika tidak ada panduan betul, berlakulah pengaruh dan gaya hidup yang di luar kemampuan.

Apa garis panduan yang terbaik?

DR. RUSINAH: Kita fokuskan kepada lima ‘K’. Pertama mempunyai keyakinan diri. Asal-usul dari bandar atau kampung bukanlah persoalan utama. Sebaliknya dia kena duduk dan membuat analisis tentang diri sendiri. Apa kekuatan atau kelemahan mereka, apakah ancaman dan peluang yang ada. Mereka mesti sedar bahawa mereka telah bertapak di bumi yang nyata (alam kehidupan sebenar). Jika kenal diri sendiri, mereka akan membangunkan keyakinan diri dan pengaruh-pengaruh luar akan dapat diatasi. Kedua, komitmen, mesti tahu fokus. Contohnya jika seseorang itu baru bekerja, apakah komitmennya untuk keluarga, kerjaya dan sebagainya. Kalau komitmennya terhadap kerjaya, pastinya mereka tidak mahu menimbulkan kesan-kesan negatif kepada kerjayanya. Selain itu komitmen terhadap masyarakat. Orang yang ada komitmen tinggi terhadap kerja, akan tahu menyeimbangkan antara kehendak dan keperluannya.

Ketiga tentang konsistensi. Katakan mampu menyimpan RM100 sebulan, konsisten dengan jumlah itu setiap bulan. Keempat, kreativiti. Kerja makan gaji tidak semuanya cukup, mungkin mereka boleh membuat kerja sampingan. Masalahnya mereka malu hendak bekerja ‘‘part time.’’ Apa salahnya kalau menjual burger atau kain untuk menambah pendapatan. Akhir sekali, kuasa. Adakah mereka berkuasa untuk melakukannya dengan segala tekanan yang ada selain kena percaya kepada kuasa Tuhan.

Pada pandangan Dr. apa masalah utama yang membelenggu golongan muda dalam hal ini?

DR. RUSINAH: Saya melihat mereka lebih banyak mengalami masalah ketidakseimbangan minda – identiti diri dengan konflik diri bertembung. Kadang-kadang hendak bercakap dengan ibu bapa pun segan sebab ibu bapa menganggap anak mereka yang baru keluar universiti itu sudah cukup hebat. Jadi nasihat daripada orang berpengalaman penting.

Tentang terpaksa berbelanja besar kerana memenuhi kehendak kerjaya yang mahukan personaliti atau keterampilan hebat. Adakah ini tindakan yang salah atau sebaliknya?

DR. RUSINAH: Ini kita perlu pandang serius kerana kebanyakan yang bekerja terutama dalam bidang-bidang profesional, memerlukan penonjolan personaliti. Kita tidak menafikan barangan berjenama untuk membina personaliti yang sesuai sebagai eksekutif muda memang mahal. Sebaiknya kita kena pandai memilih. Kalau sehelai baju berharga RM100 dengan satu lagi berharga RM50, jangan kita terpesona dengan iklan yang mengatakan kita akan lebih hebat jika memakai pakaian yang lebih mahal. Jika kita tahu cara untuk menggayakan, apa jenama pakaian yang kita pakai akan tetap kelihatan anggun untuk kita. Sekarang banyak baju yang berharga sederhana dijual. Kita jangan selalu sangat mengunjungi pusat membeli-belah yang mewah. Sebenarnya teknik dan strategi menggayakan pakaian itu yang penting untuk memperlihatkan personaliti. Kalau pakaian mahal tetapi tidak tahu menggayakannya pun tidak akan jadi menarik.

Isunya mereka selalu merasakan lebih berkeyakinan jika memakai pakaian berjenama?

DR. RUSINAH: Tanggapan tidak semestinya benar. Saya sangat percaya tentang keyakinan diri. Saya berjumpa ramai golongan muda yang pemilihan mereka memang kepada barangan berjenama. Kalau berkemampuan teruskan. Masalah timbul apabila yang tidak mampu mahu bergaya lebih. Kita sedih kerana mahukan baju berharga RM400, mereka sanggup berhutang dengan kad kredit sebanyak RM500 hingga RM600 sebulan. Akhirnya pakaian ke mana, harga diri ke mana. Apabila hutang banyak, muka kita akan mengalami kemurungan dan kesedihan. Akhirnya di mana keterampilan dan personaliti kita? Dengan ditimbuni surat-surat meminta hutang, pakaian yang kita bangga apabila memakainya pun tenggelam. Hakikatnya bukan baju yang mahal itu orang pandang tetapi gaya yang salah dan keadaan ini pastinya menjejaskan produktiviti.

Benarkah masalah gaya hidup yang melingkari golongan muda disebabkan oleh persekitaran?

DR. RUSINAH: Orang yang mementingkan jenama ini ada tiga sebab. Pertama kerana keluarga. Kadang-

kadang keluarga memang golongan elit, ibu bapa mereka berkemampuan. Golongan ini memakai pakaian berjenama untuk kepuasan diri. Kedua, orang yang tidak pernah memakai pakaian berjenama. Apabila ada sedikit sebanyak kemampuan, sudah terdetik di hati untuk memakainya. Golongan ketiga, memang tidak tahu bergaya dan dikehendaki bergaya kerana kerjaya. Mungkin dia pegawai dalam sebuah organisasi. Antara tiga sebab ini, yang mudah terpengaruh ialah kumpulan kedua dan ketiga.

Mereka memakai sesuatu semata-mata untuk mendapatkan perhatian orang sekeliling?

DR. RUSINAH: Selalunya di dalam peningkatan kerjaya ini, ada yang berfikir bagaimana untuk mendapatkan perhatian berbanding rakan-rakan sekerja yang lain. Mereka mungkin memerlukan gimik, kehebatan diri atau lain-lain. Di peringkat umur begini mereka berada di dalam kategori penonjolan diri yang bergantung kepada personaliti. Mereka sentiasa memikirkan bagaimana hendak meningkat dengan cepat dan menarik perhatian orang. Dan tidak dinafikan dalam masyarakat kita, penerimaan terhadap personaliti yang hebat adalah tinggi. Contohnya dalam kelompok yang ramai bagaimana kita nak mudah mengenal pasti seseorang itu kecuali dia seorang yang bergaya dan mempunyai impak personaliti. Kajian oleh Jaymes Sharp (2004) meliputi beberapa organisasi di Eropah mengatakan wanita di dalam organisasi dilihat daripada lima ciri. Pertama, mereka diukur dari segi kemampuan dalam kerjaya. Kedua, keterampilan diri. Ketiga, komunikasi yang hebat. Keempat, komuniti iaitu pandai bermasyarakat dan kelima adalah aspek kekeluargaan. Ini menyebabkan wanita-wanita muda di organisasi di Eropah berlumba-lumba menggunakan kosmetik dan sebagainya. Di Amerika Syarikat keputusan temu duga untuk mengambil seseorang bekerja hanya dibuat dalam tempoh 10 saat. Pepatah ada mengatakan jangan menilai seseorang itu dari kulitnya tetapi sekarang itulah cara seseorang dinilai.

Senario ini juga berlaku di negara kita?

DR. RUSINAH: Kita belum ada kajian yang pasti tetapi saya percaya senarionya lebih kurang sama. Sekarang ini polarisasi pemikiran masyarakat sudah berubah. Dengan proses modenisasi, urbanisasi, globalisasi, interaksi akan memberi kesan kepada reaksi dan personaliti. Selalunya apa yang disukai majikan ialah pertama, keterampilan diri dan keperibadian, kedua, komunikasi yang hebat, ketiga, keyakinan diri, keempat, kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Tidakkah senario sebegini merosakkan?

DR. RUSINAH: Kerosakan ini terbahagi kepada tiga. Pertama dari sudut fizikal di mana keadaan ini akan memberi tekanan kerana ketidaksediaan dan penerimaan (adaptasi dan asimilasi). Maknanya orang yang berkaitan dalam organisasi kurang diterima kerana masalah-masalah remeh pada mereka iaitu personaliti dan sebagainya. Mereka akan mengalami kemurungan, kesedihan, tidak berminat kerana pandangan-pandangan sinis akibat pakaian tidak cantik dan sebagainya. Kedua, kecederaan dari segi minda dan ini sukar diubati. Kalau sudah bertapak dan menjadi budaya kerja hanya kerana elemen-elemen material dan fizikal, memang sukar hendak diubah. Maka, dalam penentuan personaliti, saya berpendapat pemilihan kerjaya sangat penting.

© Utusan Melayu (M) Bhd